fb fb fb fb fb

Siasatan polis terhadap Kasino Forest City bukan arahan kerajaan

Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 8 Mei- Siasatan terhadap laporan berita mengenai cadangan pembinaan kasino di Forest City, Johor, bukan dibuat atas arahan kerajaan, sebaliknya hasil daripada laporan polis yang dibuat firma guaman mewakili syarikat dikaitkan dalam artikel itu, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata Berjaya Corporation Bhd (Berjaya Corp) melalui firma guamannya yang membuat laporan polis, dan bukannya kerajaan, Kementerian Komunikasi atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"Kerajaan tidak mengeluarkan apa-apa arahan untuk menyiasat, tapi oleh kerana ada laporan (polis) maka laporan itu diambil oleh polis dan tindakan siasatan dilakukan seperti yang mengikut proses," katanya dalam sidang media di sini.

Pada 26 April lepas, Berjaya Corp dilaporkan membuat laporan polis terhadap dakwaan artikel sebuah portal berita antarabangsa yang mengaitkan ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan terlibat dalam perbincangan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuka kasino di Forest City.

Susulan itu Anwar, Berjaya Corp dan Genting Malaysia Berhad (Genting Malaysia) turut menafikan laporan portal berita berkenaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI