fb fb fb fb fb

Siasatan menyeluruh insiden kren runtuh

Tiada kompromi dalam sebarang unsur kecuaian, kegagalan SOP atau kelemahan aspek keselamatan / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 Disember - Siasatan telus dan menyeluruh dijalankan susulan kejadian kren mengangkut arang runtuh di Loji Jana Kuasa Malakoff, Kukup, Pontian, Johor.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam kenyataan menyebut tiada kompromi dalam sebarang unsur kecuaian, kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) atau kelemahan aspek keselamatan.

"Pihak berkuasa berkaitan khususnya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan PDRM dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga serta agensi teknikal yang terlibat, perlu mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Pihak pengurusan loji dan kontraktor terlibat juga perlu memberi kerjasama penuh kepada siasatan serta memastikan semua SOP keselamatan, penyelenggaraan peralatan dan pengurusan risiko dipatuhi sepenuhnya bagi mengelak insiden serupa berulang.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kementerian akan terus memantau perkembangan insiden itu serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut sekiranya diperlukan demi memastikan tahap keselamatan industri tenaga negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Dalam masa sama, beliau turut merakamkan simpati dan takziah kepada keluarga dua mangsa yang terkorban iaitu Allahyarham Muhammad Alfarid Ahmad, 19 tahun, dan Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22 tahun.

FAUZIAH ABD RAHMAN