KUALA LUMPUR, 22 November- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengeluarkan kenyataan media bagi memberikan penjelasan berkenaan kes yang melibatkan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Che Abdul Daim Zainuddin, atau lebih dikenali sebagai Tun Daim Zainuddin.
SPRM menjelaskan, pada Februari 2023, SPRM telah membuka beberapa kertas siasatan berdasarkan maklumat yang ditemui dalam Pandora Papers.
Siasatan ke atas maklumat dalam Pandora Papers ini telah membawa kepada siasatan terhadap Kementerian Kewangan pada masa itu, di mana Allahyarham Tun Daim Zainuddin memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.
Seperti yang dinyatakan dalam Kenyataan Media SPRM bertarikh 30 Disember 2023, satu notis mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) telah dikeluarkan kepada Allahyarham Tun Daim pada 7 Jun 2023.
Notis tersebut mengkehendaki beliau mengisytiharkan semua aset miliknya di dalam dan luar negara secara bertulis dan melalui akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.
Allahyarham Tun Daim telah memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali, dan SPRM memberikan lanjutan pada 6 Julai 2023, 10 Ogos 2023, 11 September 2023, 11 Oktober 2023, dan terakhir pada 14 November 2023 untuk melengkapkan pengisytiharan aset tersebut.
Pada 29 Januari 2024, Allahyarham Tun Daim telah didakwa di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 atas pertuduhan gagal mematuhi notis yang terakhir iaitu 14 November 2023, dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta dan satu akaun bank.
Setelah Allahyarham Tun Daim meninggal dunia, pada 20 November 2024, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah melepas dan membebaskan Allahyarham Tun Daim daripada pertuduhan gagal mematuhi notis tersebut mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
Walau bagaimanapun, siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) berkaitan kes ini masih diteruskan.
Siasatan berkenaan turut melibatkan isteri Allahyarham Tun Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Kadir, serta ahli-ahli keluarga beliau, yang mana siasatan tertumpu kepada perolehan aset-aset di luar negara. Penyelidikan jejak kewangan (money trail) di luar negara sedang giat dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi antarabangsa.
SPRM menyeru masyarakat agar tidak membuat spekulasi berhubung kes ini dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka dengan lancar tanpa sebarang gangguan.