fb fb fb fb fb

SHMMP TBC: Kehadiran pelanggan, beri sinar kepada peniaga Pasar Pudu

Foto Fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Januari- Rata-rata peniaga di Pasar Pudu menzahirkan rasa syukur apabila trend pembeli menunjukkan sedikit peningkatan berbanding sebelum ini.

Maklum balas positif itu juga didorong pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Tahun Baharu Cina 2025.

"Sebelum ini, kuranglah. Mungkin bertembung dengan cuti sekolah, persiapan puasa. Agak tidak berapa ramai, sepi sikit lah. Tapi, hari ini alhamdulillah nampak ramai orang daripada kebiasaan," kata Romy Hirman Ahmed kepada pemberita.

"Nak kata tak hidup, alhamdullilah boleh hidup lagi. Kalau orang kata rugi, tak rugi. Kalau rugi, orang akan berhenti meniaga. Tengok semua tempat, semua meniaga tetapi pandai tak pandai sahajalah," kata Wahyudi Efendi Welman.

"Boleh tahan ramai juga orang datang beli. Ada sikit peningkatan, mereka datang membeli apa semua dan orang ramai ada lah membeli-belah minggu ini," kata Muhd Hafiz Hanafiazhar.

"Hari Isnin sampai Rabu kurang orang. Tetapi, hari Jumaat, Sabtu dan Ahad ada orang. Hari yang lain agak kosong. Tapi ada SHMMP ini, ramai datang beli," kata Thingleasan Mununday.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan sebanyak 16 jenis barangan akan dikawal bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bermula 25 Januari hingga 2 Febuari depan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM