fb fb fb fb fb

SHMMP Tahun Baharu Cina 2025: KPDN periksa 6,007 premis

PUTRAJAYA, 5 Februari - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melakukan 6,007 pemeriksaan ke atas premis perniagaan di seluruh negara sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam dalam kenyataan berkata pemeriksaan itu merangkumi 108 premis borong dan 5,899 premis runcit.

“Sepanjang tempoh kuat kuasa skim, 483 tindakan kes telah diambil terhadap peniaga yang ingkar, melibatkan sitaan bernilai RM21,942.85 iaitu kesalahan gagal meletakkan tanda harga dan gagal menggunakan tanda harga merah jambu,” kata Azman.

Azman berkata tiada sebarang kes membabitkan kesalahan menjual melebihi harga maksimum dikesan dan KPDN juga tidak menerima sebarang aduan semasa pelaksanaan skim berkenaan.

"Majoriti peniaga yang diperiksa komited dan mematuhi perundangan harga maksimum yang berkuat kuasa sepanjang pelaksanaan skim itu,” katanya.

SHMMP itu dilaksanakan selama sembilan hari dari 25 Januari hingga 2 Februari lepas, iaitu empat hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan empat hari selepas perayaan dengan 16 jenis barangan dikawal bawah skim berkenaan.

TETITIA YUSOFF