fb fb fb fb fb

SHMMP Aidilfitri dilanjutkan sehingga 10 Mei

JOHOR BAHRU, 28 April - Tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2022 dilanjutkan sehingga 10 Mei depan.

Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Tindakan Sara Hidup Negara selepas mendengar pandangan dan permintaan pengguna.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melanjutkan tempoh sebelum ini yang hanya sehingga 6 Mei sahaja.

Menterinya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ini susulan pengumuman Kementerian Kesihatan tentang beberapa kelonggaran termasuk kebenaran rumah terbuka dan kunjung-mengunjung secara fizikal.

"Kita menerima berita dan maklumat umum, merayu supaya dipanjangkan skim harga maksimum perayaan kali ini, sebelum ini ia dikuatkuasakan pada 26 April sehingga 6 Mei sahaja, jadi 6 Mei ini hanya dua hari sahaja selepas Hari Raya Aidilfitri, katanya selepas melawat sebuah stesen minyak di sini.


(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Sri Alexander Nanta Linggi)

Dalam mesyuarat sama, harga runcit ayam dikekalkan RM8.90 sehingga 5 Jun.

Kerajaan turut setuju menambah subsidi ayam untuk menampung kos supaya harga runcit itu kekal.

Sementara itu, 631 aduan dterima menerusi Ops Pantau di seluruh negara sejak 3 hingga 26 April.

463 kertas siasatan dibuka, manakala lebih RM123,000 kompaun dikeluarkan kepada peniaga terlibat.

Bagi SHMMP Aidilfitri 2022, sehingga semalam, hanya satu aduan diterima dan kertas siasatan dibuka.

Media Baharu