fb fb fb fb fb

Shell bakal tambah pengecas EV di seluruh negara, menjelang 2024

Pengurus besar Shell Mobility Malaysia, Seow Lee Ming (kiri) ditemui pemberita selepas majlis MoU sempena Pelancaran Projek Hab Pengecasan e-Mobiliti

GENTING HIGHLANDS, 4 Disember- Shell Mobility Malaysia berhasrat menyediakan lebih banyak ruang pengecas kenderaan elektrik (EV) ke seluruh negara pada 2024.

Pengurus besarnya, Seow Lee Ming berkata buat permulaan, pihaknya mewujudkan hab pengecasan berprestasi tinggi pertama di Genting Highlands, Pahang.

Hab pengecasan yang dijangka siap awal tahun depan ini, mempunyai sepuluh ruang pengecasan terdiri daripada empat pengecas 360 kilowatt dan enam pengecas AC 22 kilowatt.

"Sudah pasti kami mempertimbangkan untuk menyediakan kemudahan pengecasan ini ke seluruh negara dan Genting Resort World, Pahang merupakan destinasi pertama kami di pantai timur.

Pada masa hadapan, kami berbesar hati mengembangkan hab pengecasan ini demi keselesaan pelanggan," kata Seow kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Shell Mobiliti dan Genting Berhad sempena pelancaran projek Hab pengecasan e-Mobiliti, di sini.

Sehingga kini, pihaknya mempunyai 136 stesen pengecas di bandar-bandar utama dan sepanjang lebuh raya Semenanjung Malaysia.

Melangkah ke hadapan, pihaknya akan mengembangkan lagi hab pengecasan EV bergantung pada permintaan pelanggan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM