PUTRAJAYA, 8 Januari- Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, membuat laporan polis bagi menyiasat dalang gerakan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dibawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, laporan sama berhubung "Langkah Dubai" itu telah dibuat di 12 buah negeri secara serentak hari ini.
"Pada hari ini, laporan polis telah pun dibuat di 12 negeri, saya yakin akan ada banyak lagi laporan dibuat untuk memberi ruang kepada pasukan polis untuk memulakan siasatan."
Tegasnya, beliau menyangkal dakwaan bahawa kerajaan tergugat susulan gerakan berkenaan sebaliknya mahu menjaga keamanan serta kestabilan politik negara.
"Gerakan yang dipanggil sebagai langkah dubai ini jelas adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab yang bukan sahaja menganggu gugat sistem demokrasi berparlimen malah sia-sia kerana akta anti lompat parti yang telahpun diluluskan menghalang sebarang usaha menukar Perdana Menteri dan juga kerajaan di pertengahan pentadbiran."
Beliau ditemui selepas membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.