
ISKANDAR PUTERI, 19 Februari – Kadar sewaan tapak Bazar Ramadan yang dikendalikan penganjur swasta di Johor bakal diselaras bermula tahun hadapan susulan aduan harga sewa terlalu tinggi.
- Penyelarasan kadar sewaan tapak Bazar Ramadan untuk penganjur swasta dijangka dilaksanakan mulai tahun hadapan.
- Had keuntungan penganjur dicadangkan sekitar 30 peratus daripada kadar sewaan tapak untuk mengurangkan kos berlebihan.
- Kadar akhir akan kekal fleksibel bergantung lokasi dan kemudahan disediakan penganjur.
Langkah itu diambil selepas terdapat rungutan petak bazar disewa pada kadar mencecah lebih RM5,000 sebulan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, penyelarasan berkenaan dijangka mengehadkan keuntungan penganjur kepada sekitar 30 peratus daripada kadar sewaan tapak.
“Kita mungkin hadkan dari segi keuntungan bersih, di peringkat NGO mungkin bawah 30 peratus. Contohnya jika kos sewaan RM1,000 termasuk apron, pembersihan, keselamatan RELA dan khemah, tetapi kos keseluruhan RM700, maka keuntungan bersih sekitar RM300. Saya rasa itu tidak melampau kerana dalam perniagaan F&B, margin antara 30 hingga 50 peratus adalah biasa,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata kadar penyelarasan itu bersifat fleksibel bergantung kepada lokasi serta kemudahan yang disediakan penganjur.
Datuk Mohd Jafni ditemui ketika mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan di Nusa Perintis, di sini.