fb fb fb fb fb

Lawatan kerja Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina ke Malaysia esok

Enrique A. Manalo ketika menyampaikan ucapan di "Kongres Masa Depan" di Dewan Perhimpunan di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York City, Amerika Syarikat pada 22 September lepas/Reuters

KUALA LUMPUR, 14 Oktober- Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Enrique A. Manalo akan mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Malaysia bermula 15 Oktober (esok) bersempena Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Filipina (JCM) kelapan.

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memaklumkan bahawa mesyuarat tersebut akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Manalo.

"Mesyuarat ini akan menjadi platform bagi kedua-dua negara untuk menilai semula kerjasama dua hala, termasuk dalam aspek perdagangan dan pelaburan, pertanian, industri halal, pelancongan, serta kerjasama keselamatan. Ia juga memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk meneroka bidang kerjasama baharu yang berpotensi memberi manfaat bersama," menurut kenyataan hari ini.

Sejak penubuhannya pada tahun 1993, JCM telah berfungsi sebagai mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Filipina.

Wisma Putra turut menjelaskan lawatan Manalo sangat bermakna memandangkan tahun ini menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Filipina.

"Ini mencerminkan jalinan persahabatan yang erat dan mesra antara kedua-dua negara, baik dalam konteks hubungan dua hala mahupun dalam kerangka kerja ASEAN," menurut kenyataan.

Pada tahun 2023, Filipina merupakan rakan dagang ke-17 terbesar Malaysia di peringkat global dan kelima terbesar dalam kalangan negara dagangan ASEAN dengan nilai keseluruhan dagangan mencapai RM36.12 bilion (AS$7.92 bilion).

Dari Januari hingga Julai 2024, jumlah dagangan dengan Filipina mencatatkan peningkatan sebanyak 5.9 peratus mencapai nilai RM22.41 bilion (AS$4.75 bilion) berbanding RM20.08 bilion (AS$4.48 bilion) dalam tempoh sama pada tahun 2023.

SITI AISHAH MD ISA