fb fb fb fb fb

Sesi ujian migrasi MRT laluan Putrajaya Fasa 2 mulai esok

KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Sesi ujian migrasi sebagai persediaan untuk pengoperasian penuh Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya bakal dijalankan bermula esok hingga Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Amir Hamdan dalam kenyataan menyebut pihaknya akan memantau rapi sesi ujian yang dijalankan kontraktor pembinaan projek MRT bagi memastikan semua langkah dan prosedur dipatuhi.

"Sesi ujian akan melibatkan operasi tren ujian dari Stesen MRT Putrajaya Sentral sehingga Stesen MRT Kwasa Damansara.

"Kekerapan tren pada waktu puncak pagi dan petang kekal seperti sedia ada ketika ujian dijalankan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, tren-tren ujian ini akan berhenti di semua stesen MRT Laluan Putrajaya Fasa 1 dan tidak akan mengambil penumpang.

Amir berkata, bagi memastikan penumpang tidak keliru, notis akan dipasang pada pintu tren yang terlibat bagi melarang pengguna daripada memasukinya.

"Pihak operasi juga telah menampal notis dan pengumuman di stesen turut dijalankan bagi makluman penumpang," katanya.

Sesi ujian ini juga adalah antara prasyarat yang ditetapkan pihak berkuasa, selain untuk mengukur dan menguji keberkesanan sistem menjelang pengoperasian penuh MRT Laluan Putrajaya.

Pemakluman menerusi platform media sosial Rapid KL turut dijalankan. Sebarang pertanyaan, pengguna boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL di 03-78852585.


Media Baharu