
KUALA LUMPUR, 16 Mac– Kementerian Pendidikan (KPM) setakat ini tetap melaksanakan sesi persekolahan seperti biasa.
- KPM memutuskan sesi persekolahan akan diteruskan seperti biasa; PdPR tidak dilaksanakan buat masa ini.
- Keputusan dibuat demi memastikan kelancaran pembelajaran murid dan selepas perbincangan menyeluruh mengenai PdPR.
- Walaupun kerajaan mungkin mengumumkan BDR untuk sektor awam, ia tidak akan mengganggu sesi persekolahan, kata Fadhlina.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira keutamaan terhadap kelancaran pembelajaran murid di sekolah.
“Keputusan besar seperti pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu diteliti dan perbincangan pelbagai pihak.
“Kita sangat mengambil berat soal pembelajaran anak-anak berdasarkan pengalaman kita yang lalu. Jadi sebab itu setakat ini, PdPR tidak akan berlaku, sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berucap pada sesi libat urus pengurusan tertinggi KPM, di sini, hari ini.
Fadhlina berharap dengan penjelasan tersebut dapat meredakan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Tegasnya, walaupun berkemungkinan kabinet mengumumkan pelaksanaan kerja dari rumah (BDR), ia tidak akan mengganggu sesi persekolahan.
Pada Selasa, kerajaan dilaporkan akan meneliti cadangan BDR bagi sektor awam susulan krisis geopolitik Asia Barat dan akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet.