fb fb fb fb fb

Sesi persekolahan di Kelantan bermula seperti biasa, esok - JPNK

Anggota JBPM Kelantan giat membantu operasi pembersihan sekolah

PASIR MAS, 1 Januari- Lebih 295,393 pelajar di seluruh Kelantan akan memulakan sesi persekolahan, esok.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK), Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata sesi persekolahan akan bermula seperti biasa, dengan hampir kesemua sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) telahpun ditutup, selepas situasi banjir kembali pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, setakat pukul 5.00 petang, PPS terakhir di SK Gual Tok Deh Pasir Mas masih beroperasi berikutan 26 penduduk daripada tujuh keluarga masih berlindung di PPS berkenaan.

Susulan itu, JPNK menyerahkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan sekolah sama ada mengadakan pembelajaran secara bersemuka ataupun Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PDPR) sekiranya masih belum bersedia untuk memulakan sesi persekolahan.

"Gotong-royong membersihkan kawasan sekolah terlibat banjir dan PPS telahpun dilaksanakan warga sekolah dengan bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), penduduk sekitar serta badan bukan kerajaan (NGO)."

"JPNK turut memberi kelonggaran kepada pelajar terjejas banjir untuk hadir ke sekolah tanpa mengenakan seragam sekolah, dalam meringankan beban ibu bapa," jelas Datuk Mohd Zamri ketika dihubungi pemberita.

Datuk Mohd Zamri berkata pihaknya akan berusaha untuk mendapatkan pelbagai bentuk bantuan yang sesuai kepada pelajar memerlukan.

Musibah banjir bagi ketiga-tiga gelombang yang melanda negeri itu turut mengakibatkan kerosakan peralatan sekolah seperti perabot, kerusi dan meja yang tidak sempat diselamatkan.

Anggaran kasar kerugian direkodkan sebanyak RM328,000 melibatkan tiga daerah terjejas iaitu PPD Kuala Krai, Pasir Mas dan Tumpat dan perkara itu telah dimaklumkan kepada kementeriannya untuk diambil tindakan.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM