
ALOR SETAR, 31 Mac – Sesi persekolahan di daerah Kota Setar dan Pendang kembali beroperasi secara bersemuka bermula Rabu (esok) selepas bacaan suhu menunjukkan trend penurunan.
- Kedua-dua daerah kini pada Tahap 1 berjaga-jaga, suhu dianggarkan antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
- JPN Kedah memantau suhu menggunakan data MetMalaysia dan mengguna pakai garis panduan pengurusan pelajar KKM.
- Amaran Tahap 1 menguatkuasakan had aktiviti terdedah cuaca panas, khususnya aktiviti di kawasan terbuka.
- Panduan cuaca panas diedarkan ke sekolah; PdPR sebelum ini berjalan lancar walaupun isu perkongsian peranti.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, keputusan itu dibuat selepas kedua-dua daerah terbabit kini berada pada Tahap 1 iaitu berjaga-jaga antara antara 35 hingga 37 darjah celcius, sejak semalam.
“Jabatan Pendidikan Negeri sentiasa memantau suhu berdasarkan data MetMalaysia serta mengguna pakai garis panduan pengurusan pelajar yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Keadaan suhu di Kedah sejak satu hingga dua hari ini juga dipengaruhi hujan, dan pelajar akan kembali ke sekolah seperti biasa mulai esok.
“Namun, beberapa garis panduan di bawah amaran tahap satu akan dikuatkuasakan, termasuk mengehadkan aktiviti yang melibatkan pendedahan kepada cuaca panas, khususnya di kawasan terbuka.
“Selain itu, panduan berkaitan cuaca panas turut diedarkan kepada pihak sekolah bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, beberapa garis panduan tetap dikuatkuasakan bagi menjamin keselamatan pelajar ketika sekolah beroperasi bermula pada Rabu (esok).
Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdPR) sebelum ini berjalan lancar walaupun terdapat beberapa kekangan termasuk isu perkongsian peranti dalam kalangan pelajar.