BIDOR, 22 Mei- Sesi kaunseling kepada keluarga dua anggota polis yang maut dalam serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada Jumaat lalu akan terus diberikan selagi keluarga memerlukan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata tiada tempoh masa ditetapkan, ia bergantung kepada keperluan dan keadaan semasa waris.
Jelas beliau, hasil lawatan ke rumah waris mangsa mendapati emosi kedua-dua keluarga kini berada dalam keadaan stabil.
"Kami dimaklumkan waktu sekarang ini sekolah pun ada bagi sesi kaunseling dan kami akan susuli kemudian dan akan melaksanakan kaunseling ini untuk membantu menyenangkan keluarga berkenaan, mereka baru sahaja alami kehilangan.
"Kami merasakan sesi kaunseling itu perlu sehingga mereka sudah cukup bersedia untuk tidak menerima kaunseling itu lagi. Maknanya kaunseling ini boleh diteruskan sehingga mereka bersedia untuk bersendiri dan tidak menerima kaunseling lagi", katanya ketika menziarahi keluarga Allahyarham Ahmad Azza Fahmi Azhar di Kampung Poh Tambahan 1, Bidor.
Pada kunjungan tersebut, turut disampaikan bantuan Skim Pemberian Ehsan Yayasan Kebajikan Negara (PEKAYKN) berjumlah RM3,000 kepada keluarga Allahyarham.
Sementara itu, bapa Allahyarham, Azhar Khaiden mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menziarah dan memberi sokongan kepada keluarganya.
"Saya terima perkara ini dengan hati terbuka dengan redha semua ini adalah kerja yang telah disusun atur oleh Yang Maha Kuasa pemilik alam, Allah SWT.
"Jadi perkara ini saya cuba terap dan tegaskan kepada anak isteri saya, mudah-mudahan mereka boleh menerima kenyataan ini dengan hati redha dan terbuka", katanya.
Dalam insiden 17 Mei lalu, dua anggota polis maut termasuk suspek berumur 21 tahun, manakala seorang lagi cedera selepas ditembak dan ditetak seorang lelaki yang tidak dikenali di Balai Polis Ulu Tiram pada pukul 2.45 pagi.
Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban dalam tragedi itu, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan cedera parah pula kini stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Artikel Berkaitan:
'Kembalikan semula semangat isteri saya' - Bapa Konstabel Ahmad Azza
Suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram tiada kaitan kumpulan pengganas - KPN
Insiden Balai Polis Ulu Tiram: Raja Permaisuri Agong lawat anggota polis cedera
Dua anggota polis maut, seorang cedera insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram