KUALA LUMPUR, 30 Januari- Lembaga Tabung Haji (TH) menawarkan hadiah pakej umrah dan wang tunai untuk para pendeposit menerusi lima program menarik yang dianjurkan sepanjang tahun ini.
TH dalam satu kenyataan memaklumkan para pendeposit berpeluang menjadi pemenang bertuah menerusi program Al-Falah, Carum dan Simpan, Bijaknya Menabung, “Terpaling” Sayang dan Auto Simpan@THiJARI.
Bagi program Al-Falah, Bijaknya Menabung serta Carum dan Simpan, pendeposit hanya perlu menambah simpanan dalam akaun TH tanpa melakukan transaksi pengeluaran untuk penyertaan.
Program Al-Falah terbuka kepada semua pendeposit yang berumur 18 tahun ke atas dengan tambahan simpanan serendah RM100.
Pemenang akan dipilih melalui empat siri cabutan sukuan dan dua siri cabutan utama dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM300,000.
"Selain itu, bagi pendeposit yang bekerja dalam sektor awam dan sektor swasta yang mencarum serendah RM100 sebulan berpeluang menyertai program Carum dan Simpan dengan hadiah berupa pakej umrah dan pelbagai hadiah lumayan."
"Menerusinya, dua siri cabutan akan dilaksana untuk mencari pemenang utama mengikut kategori masing-masing."
"Selain itu, program Bijaknya Menabung turut dilaksana bagi meningkatkan kesedaran tabungan haji dalam kalangan ibu bapa buat anak-anak mereka yang berumur 17 tahun ke bawah dengan tawaran pelbagai hadiah istimewa."
Bagi Program 'Terpaling' Sayang akan memilih pemenang bertuah setiap sukuan daripada kalangan pendeposit yang mendaftar TH Khairat," kata kenyataan itu.
TH turut memaklumkan program Kelab TaHa akan diteruskan, dengan pelbagai aktiviti disediakan kepada pelajar sekolah antaranya pertandingan Musabaqah Kelab TaHa dan kejohanan Futsal TaHa Bestari yang menawarkan hadiah lumayan RM1,000 kepada johan bagi setiap pertandingan.
"Ia merupakan usaha TH untuk mendekati generasi muda menerusi aktiviti yang memberi manfaat serta membentuk modal insan yang cemerlang secara holistik," tambah kenyataan itu.
TH akan terus komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada pendepositnya dengan penganjuran pelbagai program serta aktiviti sepanjang tahun bagi menghargai pendeposit yang terus setia menyimpan tabungan mereka untuk menunaikan rukun Islam kelima.