
KUALA LUMPUR, 16 Februari – Malaysia perlu memperkukuh dasar pengawalan tembakau, termasuk mempertimbangkan kenaikan cukai rokok secara tahunan berbanding pelarasan secara tidak berkala.
- Malaysia digesa menguatkan dasar kawalan tembakau dengan mempertimbangkan kenaikan cukai rokok tahunan.
- Kenaikan berkala bantu mengurangkan kadar merokok dan mengekalkan kemajuan konsisten.
- Hasil cukai boleh digunakan untuk menyokong pembiayaan kesihatan jangka panjang.
- Belanjawan 2026 mengumumkan kenaikan duti eksais rokok, tambah 2 sen setiap batang, berkuat kuasa 1 November.
Menurut Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI), langkah itu penting bagi mengekalkan kemajuan yang konsisten dalam mengurangkan kadar merokok serta memperkukuh pembiayaan kesihatan jangka panjang.
“Baru-baru ini, Singapura mengumumkan kenaikan 20 peratus cukai tembakau dalam Belanjawan 2026, berkuat kuasa 12 Februari 2026.
“Langkah itu menyebabkan harga sekotak rokok di republik berkenaan meningkat daripada S$15.60 kepada S$17.74, sekali gus mengukuhkan momentum serantau ke arah kawalan tembakau yang lebih tegas.
“Sebelum Belanjawan 2026, Malaysia tidak menaikkan cukai tembakau, khususnya rokok, selama hampir sedekad, manakala Singapura kali terakhir menaikkan cukai tembakau pada 2023,” menurut kenyataan itu.
Tambah SERI, langkah itu merupakan masa yang tepat bagi Malaysia untuk menilai semula dan memperkukuh dasar kawalan tembakau.
SERI turut berpendapat, hasil daripada kenaikan berkala cukai tembakau boleh dimanfaatkan untuk menyokong pembiayaan kesihatan jangka panjang, selain mengurangkan penggunaan tembakau yang memudaratkan kesihatan.
“Dasar cukai tembakau yang boleh diramal dan berpandangan jauh akan menghantar isyarat jelas tentang komitmen Malaysia dalam melindungi kesihatan awam serta memastikan pembiayaan penjagaan kesihatan yang mampan pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, di bawah Belanjawan 2026, kerajaan mengumumkan kenaikan kadar cukai rokok dan cukai minuman beralkohol berkuat kuasa mulai 1 November ini sebagai langkah mengurangkan tabiat merokok, mengawal pengambilan alkohol, serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.
Kenaikan duti eksais itu melibatkan tambahan sebanyak 2 sen bagi setiap batang rokok.