Serangan udara IDF berhampiran pos MALBATT di selatan Lubnan

Serangan berkenaan dipercayai menyasarkan sebuah jambatan yang melintasi Sungai Litani / REUTERS

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Tiada kecederaan dilaporkan melibatkan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 selepas satu serangan udara oleh Israel Defence Forces (IDF) berlaku berhampiran kedudukan pasukan itu di kawasan operasi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di selatan Lubnan awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan dipercayai mensasarkan sebuah jambatan yang melintasi Sungai Litani.
  • Serangan awal sekitar 2.35 pagi, susulan pada 3.02 pagi merosakkan beberapa fasiliti dan penginapan.
  • Pegawai dan lapan anggota diarahkan berundur; mereka bersama 12 anggota LAF tiba di lokasi selamat pada 4.12 pagi.
  • Semua persenjataan selamat, pemeriksaan kesihatan dijalankan; Kementerian memantau situasi dan bekerjasama dengan UNIFIL.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata serangan tersebut berlaku kira-kira pukul 2.35 pagi waktu tempatan dengan jarak anggaran antara 100 hingga 200 meter dari penempatan pasukan MALBATT 850-13 di sebuah pos kawalan.

Menurut beliau, serangan berkenaan dipercayai menyasarkan sebuah jambatan yang melintasi Sungai Litani di kawasan tersebut.

“Serangan susulan dilaporkan berlaku pada pukul 3.02 pagi yang mengakibatkan kerosakan terhadap beberapa fasiliti serta penginapan anggota di kawasan pos kawalan tersebu.

“Ketika kejadian, seorang pegawai bersama lapan anggota lain-lain pangkat MALBATT 850-13 yang berada di pos kawalan itu diarahkan oleh Tactical Operations Centre (TOC) MALBATT untuk berundur sebagai langkah keselamatan.

“Pasukan berkenaan kemudian bergerak bersama 12 anggota Angkatan Tentera Lubnan (LAF) ke lokasi selamat dan tiba dengan selamat pada pukul 4.12 pagi waktu tempatan,” katanya.

Kementerian Pertahanan memaklumkan semua persenjataan serta peralatan yang dibawa berada dalam keadaan selamat.

Pemeriksaan kesihatan turut dijalankan oleh pegawai perubatan bagi memastikan semua anggota berada dalam keadaan baik serta kekal pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

Datuk Seri Mohamed Khaled menegaskan keselamatan anggota Angkatan Tentera Malaysia yang melaksanakan misi pengaman di luar negara sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Beliau berkata kementerian melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau perkembangan situasi di kawasan operasi dengan teliti selain bekerjasama rapat dengan pihak UNIFIL serta rakan pasukan pengaman lain bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terpelihara.