fb fb fb fb fb

Serangan siber: Pertahanan keselamatan siber negara diperkukuh

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 25 Julai - Aspek pertahanan negara terus ditingkatkan termasuk memberi fokus terhadap isu serangan siber.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ancaman siber kini dilihat sebagai satu fenomena yang dihadapi bukan sahaja dalam aspek pertahanan namun dalam beberapa sektor yang lain.

Untuk itu, beliau berpandangan amat penting untuk negara mempunyai kemampuan dan kekuatan dalam menangani serangan tersebut.

"Kita memang memberi perhatian kepada keselamatan siber kerana kita percaya bahawa di masa akan datang dan memang kita terima hakikat ancaman siber adalah antara ancaman bukan tradisional dalam bidang pertahanan.

"Untuk itu, kita memang memberi perhatian dan fokus untuk mempertingkatkan kerana teknologi berubah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UiTM Energy & Facilities Sdn Bhd dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd, di sini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN