KOTA KINABALU, 11 September- Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengeluarkan notis pemakluman kepada pengusaha taman rekreasi Tanjung Aru Perdana Park agar menutup operasi serta-merta susulan insiden tiga individu diserang sekumpulan memerang hari ini.
Datuk Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah dalam satu kenyataan memberitahu langkah penutupan itu diambil bagi menjamin keselamatan pengunjung dan memberi laluan kepada pihak DBKK dengan kerjasama agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan lanjut.
"DBKK memandang serius insiden ini dan bertindak segera mengarahkan penutupan taman itu bagi mengelakkan sebarang insiden lain tidak diingini. Orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan penutupan ini bagi memastikan keselamatan bersama," katanya.
Sementara itu, polis mengesahkan kejadian dua wanita masing-masing berusia 40 dan 54 tahun serta seorang lelaki berumur 56 tahun mengalami kecederaan selepas diserang sekumpulan memerang semasa melakukan aktiviti rekreasi di Tanjung Aru Perdana Park hari ini.
Menerusi satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda memaklumkan polis menerima maklumat dalam kejadian 6.40 pagi tadi individu terbabit yang sedang berjoging telah diserang secara tiba-tiba oleh sekumpulan memerang dari arah belakang.
"Ekoran dari serangan tersebut, ketiga-tiga mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian kaki, tangan dan kepala akibat gigitan dan cakaran.
"Bagaimanapun, polis masih belum menerima sebarang laporan berkaitan kes tersebut," katanya.