NEW DELHI, 5 Januari- Sebuah kapal dengan bendera Liberia yang berada di Laut Arab kini dalam pemantauan tentera laut India, selepas isyarat kecemasan dikeluarkan dan memohon bantuan.
Tentera laut India dalam satu kenyataan berkata, pihak mereka telah bertindak balas dengan panggilan itu yang melibatkan cubaan rampasan sebuah kapal pengangkut pukal.
"Lima atau enam anggota bersenjata yang tidak dikenali telah menaiki kapal berkenaan pada petang Khamis," kata kenyataan itu.
Tentera laut bagaimanapun tidak menyatakan sama ada kapal itu telah berjaya diambil alih, namun peronda udara digerakkan bagi memastikan keselamatan anak kapal pada pagi Jumaat.
"Kapal pemusnah tentera laut, INS Chennai sedang mendekati lokasi kapal untuk menawarkan bantuan," tambah kenyataan itu.
Kira-kira 15 anak kapal India berada di atas kapal itu, lapor media tempatan.
Tentera laut berkata mereka komited untuk memastikan keselamatan laluan maritim itu untuk urusan perkapalan pedagang di rantau itu bersama rakan kongsi antarabangsa.- AFP