fb fb fb fb fb

Serangan di Rafah, masjid dan surau diseru adakan solat hajat untuk rakyat Palestin

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 23 Februari- Malaysia mengecam dan mengutuk perbuatan tidak berperikemanusiaan zionis Israel yang terus melancarkan serangan udara kepada penduduk Palestin khususnya di Rafah. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar dalam satu kenyataan berkata tindakan zionis Israel disifatkan sebagai biadab serta tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, serangan udara tersebut telah mengorbankan orang awam serta mendatangkan kecederaan termasuk kepada kanak-kanak selain memusnahkan kediaman dan premis awam. 
 
"Tindakan zionis Israel yang terus mengancam untuk terus melancarkan serangan di bumi Gaza, Palestin ketika menjelangnya bulan Ramadan juga perlu ditentang oleh dunia menerusi tanda sokongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin," kata Na'im dalam kenyataan itu.

Datuk Naim turut mengajak umat Islam untuk terus berdoa, agar Allah SWT memberikan kesejahteraan buat rakyat di Palestin.
 
Pihaknya juga telah mengarahkan masjid-masjid utama di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk mengadakan Solat Hajat pada 24 Februari 2024. 

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga telah diarah untuk melaksanakan perkara sama di masjid dan surau seluruh Wilayah Persekutuan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM