fb fb fb fb fb

'Kembalikan semula semangat isteri saya' - Bapa Konstabel Ahmad Azza

Azhar Khaiden

BIDOR, 18 Mei- Bapa kepada Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi, Azhar Khaiden berharap seorang lagi anak lelakinya yang bertugas di Kota Kinabalu, Sabah dapat ditukarkan ke Perak.

Azhar, 54, berkata, ia bagi memulihkan semula semangat isterinya, Norhaliza Awaluddin, 49, yang masih bersedih dengan kehilangan Ahmad Azza, 22, dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi semalam.

Justeru, beliau merayu pertimbangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas anaknya, Lans Koperal Ahmad Azza Fitri, 24, yang kini bertugas di Balai Polis Pulau Gaya.

Hasrat itu telah diluahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain.
 
"Saya menaruh harapan kepada Tan Sri Razaruddin Husain dan Datuk Seri Saifuddin... kembalikan semula semangat isteri saya, anak lelaki ada dua, seorang dah tiada, seorang lagi ada tapi jauh.

"(Saya mohon) tolong dekatkan mereka, supaya dapat pulihkan semangat mak dia.

"Tan Sri Razaruddin Husain dan Datuk Seri Saifuddin beritahu perkara ini akan diambil tindakan segera, mudah-mudahan menjadi satu kenyataan," katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor di sini.

Azhar turut berharap anak perempuannya, Nur Azza Assyaadah, 19, yang akan menghadiri temu duga polis pada Selasa ini dapat menggantikan tempat Allahyarham Ahmad Azza suatu hari nanti.

Allahyarham Konstabel Ahmad Azza merupakan anak keempat daripada lapan beradik.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi semalam, Ahmad Azza Fahmi dan rakan setugas Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan cedera ditembak.

Suspek lelaki berusia 21 tahun ditembak mati dalam kejadian tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN
Suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram tiada kaitan kumpulan pengganas - KPN
Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Tujuh suspek direman merupakan warga tempatan - KPN
Motif serangan suspek di Balai Polis Ulu Tiram bersifat persendirian
Insiden Balai Polis Ulu Tiram: Jangan kongsi maklumat tidak pasti - Fahmi
Dua anggota polis maut, seorang cedera insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram
Perak sumbang RM5,000 kepada keluarga Ahmad Azza Fahmi
Hampir 1,000 orang hadir pengebumian Konstabel Ahmad Azza Fahmi
Pemergian mengejutkan, Allahyarham Ahmad Azza disifatkan rapat dengan keluarga

SITI AISHAH MD ISA