KUALA LUMPUR, 24 Januari – Penganjur Himpunan Rakyat Benci Rasuah diingatkan untuk mematuhi undang-undang, termasuk mendapatkan kebenaran pemilik tapak sebelum menganjurkan sebarang perhimpunan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata undang-undang dengan jelas menetapkan bahawa setiap penganjuran perhimpunan memerlukan kebenaran pemilik lokasi.
“Lokasi perhimpunan yang akan dianjurkan di Dataran Merdeka, contohnya, dimiliki oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan kebenaran daripada pihak terbabit diperlukan untuk meneruskan acara tersebut.
"Kita memberikan kebebasan seluas-luas (untuk berhimpun) namun ia bukan hak mutlak kerana perlu melalui proses undang-undang selain mematuhi peraturan antaranya tidak boleh bawa kanak-kanak dan 'banner' yang tertera perkataan bukan-bukan," katanya ketika ditanya mengenai dakwaan penganjur bahawa lokasi perhimpunan tidak memerlukan kebenaran pemilik.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.
Oleh itu, katanya pihak polis belum menerima semula notis lengkap daripada penganjur bagi perhimpunan tersebut yang dijadualkan berlangsung esok di sebuah pusat beli-belah di ibu negara dan Dataran Merdeka.
Tambah beliau, notis awal yang dihantar penganjur sebelum ini telah dikembalikan kerana tidak disertakan dengan dokumen penting, termasuk salinan persetujuan pemilik atau penghuni lokasi perhimpunan.
"Notis sebelum ini dihantar penganjur memang mengikut tempoh ditetapkan, tapi kita (polis) minta dilengkapkan dan beri tempoh notis dikembalikan dengan kebenaran pemilik tempat.
"Namun sehingga hari ini, kita belum menerima kembali notis berkenaan," katanya.
Polis juga sedang membuat persediaan rapi bagi menghadapi perhimpunan tersebut, termasuk memantau media sosial dan mengumpulkan maklumat untuk menentukan jumlah keperluan anggota bertugas.
Beliau turut mengingatkan penganjur supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan, termasuk melengkapkan notis pemberitahuan.