fb fb fb fb fb

Sepanyol iktiraf pasport Kosovo

Seorang penumpang menunjukkan pasport Kosovo/ FOTO AFP

PRISTINA, 7 Januari- Sepanyol bersetuju untuk mengiktiraf pasport dari Kosovo yang sebelum ini tidak diktiraf oleh lima Negara Kesatuan Eropah (EU), menurut Timbalan Perdana Menteri Kosovo, Besnik Bislimi pada Sabtu.

Menerusi catatan di Facebooknya, Besnik menganggap pengiktirafan berkenaan merupakan satu kejayaan besar negara itu dalam usaha liberalisasi perjalanan ke kawasan 'Schengen.

"Sepanyol kini telah dimasukkan ke dalam senarai negara-negara kawasan 'Schengen' yang sebelum ini terhalang kerana tiada pengiktirafan terhadap pasport Kosovo", kata Besnik yang mengetuai Pasukan Dialog Kosovo-EU.

Dalam pada itu, Menteri Luar Kosovo, Donika Gervalla-Schwarz menerusi hantaran di X menjelaskan rakyat negara itu kini dapat melancong ke Sepanyol selepas pasport negara itu diiktiraf pada 1 Januari lalu.

Bagaimanapun, Donika mengingatkan tindakan Sepanyol itu tidak mengubah pengiktirafan Madrid terhadap Kosovo sebagai sebuah negara berdaulat.

Negara anggota EU yang lain seperti Slovakia, Cyprus, romania dan Greece tidak mengiktiraf kewujudan Kosovo sebagai sebuah negara yang mengisytiharkan kemerdekaan daripada Serbia pada 2008 dan diterima oleh 22 anggota blok EU.

Tindakan Madrid itu membolehkan warga Kosovar memasuki zon Schengen tanpa visa untuk tempoh sehingga 90 hari dalam mana-mana tempoh 180 hari.

Pembaharuan itu dilihat sebagai langkah ke arah pengiktirafan penuh dan rangsangan buat Kosovo bagi menyertai Kesatuan Eropah (EU).

Kosovo adalah negara terakhir daripada enam negara di Balkan barat yang menerima pengecualian visa.

Sebelum itu, warga Kosovar hanya dibenarkan melawat 14 buah negara di seluruh dunia tanpa visa.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD