fb fb fb fb fb

Seorang warga Myanmar dan lelaki tempatan ditahan Polis Perak

Foto hiasan

BAGAN SERAI, 22 Disember- Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak melancarkan operasi bersepadu melibatkan beberapa jabatan dan agensi susulan video tular berkaitan aduan penduduk Kampung Parit Haji Ali, Bagan Serai, terhadap penempatan yang dipercayai etnik Rohingya menetap di kampung itu.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintenden Juna Yusoff menerusi kenyataan berkata, "operasi melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1, Jabatan Imigresen, Pejabat Daerah dan Tanah Kerian, Pejabat Agama Bagan Serai dan Majlis Daerah Kerian.

"Hasil pemeriksaan terhadap 14 buah rumah menemui seramai 19 orang warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan," katanya.

Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kerian untuk pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun siasatan ke atas warga Myanmar tersebut mendapati, 18 daripadanya memiliki kad UNHCR yang sah dan mereka dibebaskan tanpa syarat.

Namun seorang daripada mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan ditangkap bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen.

Sementara itu, lelaki warga tempatan turut ditahan atas kesalahan memiliki dadah selain turut positif dadah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI