KUALA PILAH, 19 Februari- Seorang penduduk orang asli di Kampung Chergun di sini maut akibat jangkitan kusta, manakala lapan lagi penduduk dari kampung berkenaan dan Kampung Guntur disahkan dijangkiti wabak sama.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan saringan secara agresif terhadap penduduk di kedua-dua kampung terbabit bagi mengawal penularan wabak itu.
"Di Kampung Chergun -- lima keluarga terjejas, manakala di Kampung Guntur -- empat keluarga terlibat.
"Hutan Lipur Jeram Tengkek yang berhampiran dengan kedua-dua kampung tersebut juga ditutup sementara waktu bagi mengekang penyebaran jangkitan," katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban.
Sementara itu, Exco Kanan Kerajaan Negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias memaklumkan setakat ini, 65 peratus penduduk di kedua-dua kampung tersebut telah menjalani saringan kesihatan.
"Kawasan ini telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan dan tidak boleh dikunjungi oleh orang luar. Penduduk dalam kampung juga dilarang berhubung atau berurusan dengan masyarakat luar.
"Tindakan sewajarnya telah diambil oleh pihak berkuasa termasuk saringan kesihatan yang bermula sejak 22 Januari dan diteruskan pada 15 Februari,” katanya.