fb fb fb fb fb

Pemandu bas maut, 10 penumpang cedera langgar belakang treler

FOTO PDRM

ALOR GAJAH, 11 Mac- Seorang pemandu bas persiaran meninggal dunia dan 10 penumpangnya cedera selepas terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 220.4, Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Arshad Abu berkata, siasatan mendapati bas yang membawa 30 penumpang itu disyaki telah melanggar belakang treler muatan pasir kaca di lorong pertama lebuh raya dalam kejadian sekitar pukul 2.30 pagi.

Kemalangan menyebabkan mangsa, 41, tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala 10 penumpang yang cedera dikejarkan ke dua buah hospital di Negeri Sembilan iaitu Hospital Tuanku Jaafar dan Hospital Rembau untuk rawatan.

Penumpang lain yang terselamat tanpa sebarang kecederaan pula dibawa ke Terminal Bas Selatan (TBS) di Kuala Lumpur menaiki bas sediakan oleh syarikat sama.

Ketika kejadian, bas berkenaan dalam perjalanan dari Stesen Larkin Johor Bahru di Johor menuju ke TBS.

Sementara itu, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Arshad berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut supaya tampil membantu siasatan.

1103 MLK KEMALANGAN BAS LORI 2
FOTO PDRM

SITI AISHAH MD ISA