fb fb fb fb fb

Seorang lelaki ditemukan maut di kawasan ladang getah

Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tertiarap di kawasan ladang getah di Kampung Kubu

MARANG, 10 Februari- Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tertiarap di kawasan ladang getah di Kampung Kubu, kira-kira pukul 3.15 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Marang Superintendan Sofian Redzuan berkata, mayat dianggarkan berusia lingkungan 35 tahun itu memakai kemeja-T berwarna hitam serta berseluar pendek warna coklat.

"Sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Marang dan Cawangan D10, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

"Pemeriksaan awal pada keseluruhan badan mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan," menurut kenyataan itu.

Mayat berkenaan disyaki meninggal dunia kurang dari tempoh 24 jam ketika ditemukan dan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, untuk proses bedah siasat.

Bagaimanapun orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan mayat berkenaan diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Marang menerusi talian 09-6182222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI