Seorang lelaki ditahan kerana memandu secara berbahaya, langgar dua kenderaan

Seorang lelaki ditahan kerana memandu secara berbahaya, langgar dua kenderaan.

SUNGAI PETANI, 25 Februari – Seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan kerana memandu kereta secara melulu dan berbahaya hingga melanggar dua kenderaan lain termasuk sebuah
kenderaan polis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lelaki 22 tahun ditahan selepas memandu berbahaya dan terlibat dalam kemalangan melanggar dua kenderaan, termasuk kereta polis.
  • Tindakan kejar mengejar berlaku kerana suspek enggan berhenti untuk pemeriksaan di Tikam Batu.
  • Kenderaan suspek didapati cukai jalan tamat tempoh; tiada dadah atau barang salah ditemui.

Kejadian berlaku di Jalan Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, sebuah kenderaan polis mengejar kereta dipandu suspek yang enggan berhenti untuk pemeriksaan di sekitar Tikam Batu.

Ketika aksi kejar mengejar, kereta suspek melanggar sebuah kereta milik seorang suri rumah yang diletakkan di garaj kereta di Taman Seri Tanjung.

Suspek kemudian cuba melarikan diri sebelum kereta dinaiki melanggar sebuah lagi kereta polis yang membuat sekatan di Jalan Sungai Layar sebelum ditahan.

Hasil pemeriksaan, tidak menemukan apa-apa barang salah di dalam kenderaan dan ujian saringan air kencing juga negatif dadah.

Namun cukai jalan kereta dipandu suspek telah tamat tempoh.

Suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.