fb fb fb fb fb

Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia

Datuk Dr Mohd Na'im (tengah) dalam sidang media di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di sini hari ini.

MEKAH, 11 Jun- Seorang jemaah haji wanita meninggal dunia di Hospital King Abdulaziz,, di sini pada pukul 8.15 malam semalam.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di tanah suci meningkat kepada lima orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata punca kematian Zuraida Mohd Haris, 37, dari Ampang, Selangor, adalah disebabkan pendarahan otak sebelah kanan.

“Allahyarham meninggal dunia disebabkan pendarahan otak sebelah kanan selepas enam hari mendapatkan rawatan.

“Jenazah disembahyangkan di Masjidil Haram sebelum dikebumikan selepas subuh, 5.07 pagi tadi di Tanah Perkuburan Syuhada Al-Haram,” katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di sini hari ini.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci dan TH akan melaksanakan badal haji untuk semua jemaah yang terlibat dengan kos ditanggung melalui Tabung Kebajikan Jemaah Haji Malaysia.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata sebanyak 56 jemaah haji Malaysia sedang menerima rawatan dengan 13 daripadanya dirawat di Hospital Arab Saudi, manakala 43 orang di Pusat Rawatan TH Makkah.

“Jemaah yang dimasukkan ke Pusat Rawatan TH dan Hospital Arab Saudi disebabkan oleh masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman pada paru-paru dan lain-lain penyakit seperti masalah jantung, darah tinggi, gangguan emosi (psikiatri) dan sakit otot serta sendi.

“Insya-Allah, Tabung Haji akan merawat pesakit-pesakit ini dengan baik bagi memastikan jemaah haji berada dalam keadaan yang stabil dan kembali pulih,” katanya.

Pada masa yang sama, berbaki empat hari lagi menjelang hari wukuf, beliau mengingatkan jemaah haji agar terus menjaga kesihatan dan tidak terdedah terlalu lama dengan suhu panas di Tanah Suci ketika ini.

Beliau turut mengingatkan kepada jemaah haji supaya mematuhi segala peraturan yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi dan sentiasa mengikut arahan yang diberikan oleh petugas Tabung Haji.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI