fb fb fb fb fb

Sentuhan Ramadan Mencipta Kenangan, santuni masyarakat orang asli

Dalam pada itu, penduduk ditemui berasa gembira dengan kedatangan mereka.

RAWANG, 31 Mac- Nikmat Ramadan turut dikongsi bersama-sama masyarakat orang asli, menerusi penganjuran program Sentuhan Ramadan Mencipta Kenangan yang diadakan di Kampung Orang Asli Hulu Kuang, Rawang.

Pengarah program, Muhamad Aidil Tasnim berkata antara aktiviti dianjurkan termasuklah agihan 200 pek bubur lambuk, penyediaan juadah berbuka puasa, gotong-royong dan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Program tersebut digerakkan oleh Pertubuhan Kesukarelawan dan Pendidikan Anak Malaysia (MYGO) bagi berkongsi rezeki dan kegembiraan bersama-sama masyarakat setempat.

Sekali gus, menjalin hubungan yang mesra bersama-sama masyarakat meskipun mereka berada di kawasan pedalaman.

"Hari ini kita membawa 35 sukarelawan belia untuk hadir bersama-sama ke kampung orang asli untuk bersama-sama mereka.

"Kalau kita dengar pasal Infaq Ramadan, kebanyakannya kita fikir gelandangan, fakir miskin, ibu tunggal.. tapi jarang sekali orang luar mahu melihat masyarakat orang asli ini.

"Jadi kita sebagai belia, kita mahu beri pendedahan bahawa masyarakat orang asli juga ada yang beragama Islam dan menyambut Ramadan," kata Muhamad Aidil kepada pemberita di sini.

Sementara itu, menurut Timbalan Pengerusi Pertubuhan Amal, Muhammad Asraf Mohd Ali, pihaknya tidak mahu golongan berkenaan merasa dipinggirkan.

"Kenapa kita menyasarkan golongan orang asli? sebabnya...kita tidak mahu mereka rasa terpinggir dan dikecualikan.

"Kita juga mengharapkan persatuan lain untuk turut serta, tidak semestinya buat bersama-sama kami, tapi dengan gerakan NGO (badan bukan kerajaan) masing-masing supaya bantu orang asli lebih lagi," kata Muhammad Asraf.

Dalam pada itu, penduduk ditemui berasa gembira dengan kedatangan mereka.

"Mengeratkan hubungan antara orang kampung dan pelajar-pelajar daripada luar. Sangat menggalakkan..lebih ramai lagi bagus dapat kurangkan sikit beban.

"Kalau boleh, rajin nak datang dan berkumpul dengan orang kampung dan nak rasa rewang bersama-sama orang kampung, datanglah.. kita terima," kata penduduk kampung, Hajrahyati Hara.

"Program.. ada sukan, ada masak-masak. Selalunya mereka datang bagi duit, hantar makanan. Sangat seronok," kata penduduk kampung, Akmal Syazwan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM