Seni kreatif jadi platform membudayakan integriti

Foto FB SPRM Terengganu

KUALA TERENGGANU, 15 Februari – Inisiatif membudayakan integriti dalam kalangan masyarakat terus diperkukuh menerusi platform seni kreatif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seni kreatif digunakan sebagai platform strategik untuk mendidik masyarakat tentang bahaya rasuah dan kepentingan integriti.
  • SPRM menyokong penganjuran program keseniaan termasuk penyertaan melalui puisi dan pendeklamasian sebagai pendekatan proaktif.
  • Program berkonsepkan keseniaan mengukuhkan diplomasi budaya serta membina jalinan antarabangsa melalui penyertaan sasterawan dan seniman.

Kali ini pentas seni dimanfaat untuk menyampaikan mesej antirasuah dengan lebih kreatif dan menyeluruh kepada pelbagai lapisan komuniti.

Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Terengganu Suryani Ali, berkata seni kreatif mempunyai kelompok peminat tersendiri yang tidak boleh diketepikan dalam usaha mendidik masyarakat mengenai bahaya rasuah dan kepentingan integriti.

Menyedari hakikat itu, SPRM mengambil langkah proaktif menyokong penganjuran program tersebut serta berkongsi mesej melalui puisi yang disampaikan pendeklamasi.

Penyertaan julung kali agensi itu menerusi program berkonsepkan keseniaan ini disifatkan sebagai pendekatan lebih strategik yang memanfaatkan elemen kesenian, kebudayaan dan rekreasi sebagai platform pendidikan antirasuah.

“Untuk tahun ini, ini merupakan yang pertama dan dari segi dasar SPRM, kita juga telah mengenalpasti elemen kesenian, kebudayaan dan rekreasi itu merupakan salah satu platform yang kita perlu tuju ataupun perlu kita laksanakan bersama dengan komuniti.

“Untuk setiap sektor tadi sebab mereka juga ada penggiat ataupun peminat-peminat tersendiri yang kita tak boleh tinggalkan mereka dalam mendidik dan memberi pengetahuan mengenai antirasuah tersebut”, katanya semasa menghadiri Program Cipta Citra Hari Puisi Sedunia di Kuala Terengganu.

Sementara itu, program yang menghimpunkan sasterawan, pendeklamasi dan seniman dari dalam serta luar negara itu dianjur dalam usaha memperkukuh diplomasi budaya melalui puisi.

Seramai 40 delegasi khas hadir pada malam kemuncak acara, antaranya Indonesia, Rusia, Brunei dan Singapura.

Pengarah Cipta Citra V, Umar Uzair Zain berkata sastera dan mahasiswa bukan sahaja membangunkan ekonomi dan sosial, tetapi juga berperanan sebagai jambatan hubungan antara Malaysia dan negara lain.

“Melalui puisi, kita dapat menghargai keindahan bahasa kita, mempromosikannya kepada pihak luar, serta mempelajari dan menghargai budaya luar, sekaligus menimbulkan rasa cinta yang lebih mendalam”, katanya.