fb fb fb fb fb

PM mahu batik terapkan unsur Melayu dan Islam

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 12 Disember- Karya seni dan budaya Islam harus terus diperkasakan di bawah konsep Malaysia MADANI, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, konsep MADANI bukan hanya bermaksud untuk membangunkan ekonomi tetapi juga membangunkan seni dan budaya Islam.

Justeru, beliau menyeru pemain seni tempatan seperti batik supaya menghasilkan motif yang menerapkan unsur tradisi Melayu dan Islam.

"Batik ini adalah pencernaan seni budaya (dan) tradisi kita.

"Sementara kerajaan menggalakkan pemakaian batik, kita seru supaya industri batik memberi juga perhatian kepada menghasilkan motif yang juga menggambarkan tradisi, budaya dan seni kita sendiri (iaitu) Melayu, Islam dan yang asli.

"Jadi barulah nampak ada keindahan daripada segi mutu seni," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Pameran 'Perjalanan Menelusuri Seni Islam' dan 'Alif Lam Ra: Kaligrafi Kontemporari Muslim' di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) di sini malam ini.

Kedua-dua pameran itu dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-25 MKIM dengan majlis pelancaran itu dihadiri isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzili dan Pengarah MKIM, Syed Mohamad Albukhary.

Anwar juga menyeru rakyat Malaysia khususnya golongan muda untuk memanfaatkan sepenuhnya MKIM yang mempamerkan mengenai sejarah kesenian dan kebudayaan Islam.

 

SITI AISHAH BINTI MD ISA