fb fb fb fb fb

Semua sekolah digesa tingkat minat pelajar dalam STEM

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Mac- Semua sekolah digesa mengambil langkah segera untuk meningkatkan minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu perlu diberi tumpuan susulan penurunan jumlah penyertaan pelajar bumiputera dalam bidang tersebut.

"Saya telah mengarahkan mulai tahun ini, diberi tumpuan di semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sekolah menengah sains, sekolah menengah asrama penuh, sekolah menengah agama, tanpa kecuali mengambil langkah-langkah segera untuk memberikan tekanan supaya ada minat yang bertambah anak-anak kita masuk ke STEM.

"Kedua, bermula tahun depan tanpa kecuali, semua MRSM, sekolah menengah sains, Sekolah Berasrama Penuh kita mulakan begitu, 70 peratus kemasukan baru mesti dari aliran STEM kalau tidak kita tidak akan terima," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Peluncuran Wakaf MARA MADANI Sempena Hari Mara ke-59 di ibu negara.

Jelas beliau, penurunan jumlah pelajar baharu untuk menyertai bidang tersebut perlu diberi perhatian.

Ia sebagai langkah untuk memastikan keperluan kepakaran dalam bidang itu dapat dipenuhi; seiring dengan usaha Malaysia ketika ini sedang memberi fokus kepada pembangunan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI