fb fb fb fb fb

Semua salah laku pegawai akan diteliti libat audit dalaman

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika di Parlimen

KUALA LUMPUR, 2 Disember - Pemantauan berterusan perlu dilakukan terhadap semua pegawai kerajaan atau penjawat awam agar tidak terlibat salah laku rasuah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan, semua kes berkaitan salah laku akan dirujuk dan melalui Pekeliling Perkhidmatan serta melibatkan Audit Dalaman.

Beliau turut merujuk mengenai dakwaan seorang pegawai kanan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) didakwa memberikan surat sokongan berkaitan beberapa syarikat bagi projek Kementerian Kesihatan.

Tegasnya, sebarang penyataan sokongan tidak dianggap sebagi arahan meluluskan  sesuatu urusan kerajaan dan  bukannnya bersifat kelulusan muktamad.

"Harus ada pemantauan yang lebih teliti, termasuk perkara yang dibangkitkan baru-baru ini iaitu berkenaan surat sokongan. Saya telah nyatakan bahawa saya tidak bersetuju dengan bentuk surat sokongan seperti yang dizahirkan baru-baru ini, termasuk melibatkan pegawai di pejabat saya.

"Itu hanyalah senarai enam syarikat yang diminta untuk dipertimbangkan. Maka wajar diberi teguran, tetapi tidak seharusnya dipecat kerana surat itu hanya menyebut ‘sila pertimbangkan’, bukannya syor untuk meluluskan,” katanya ketika menjawab soalan dibangkitkan wakil Masjid Tanah Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin di Parlimen.

Datuk Wira Mas Ermieyati memohon Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan akan melaksanakan audit dalaman terhadap pegawai-pegawai Menteri susulan teguran YAB Perdana Menteri agar Menteri memantau pegawai mereka dengan lebih tegas.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN