fb fb fb fb fb

Semua institusi pendidikan KPM terjejas banjir, beroperasi seperti biasa - Fadhlina

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 2 Januari- Semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang terjejas banjir termasuk yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi seperti biasa, hari ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek memaklumkan sejak 11 November sehingga semalam, 133 sekolah rendah, 23 sekolah menengah dan satu pusat permata terjejas.

Dalam tempoh itu juga, 207 institusi pendidikan telah dijadikan PPS membabitkan 173 sekolah rendah, 33 sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional.

"Laporan awal yang kita terima anggaran kerosakan melebihi RM1 juta melibatkan kerosakan perabot, fizikal seperti bangunan dan pagar serta aset yang tidak boleh dipindahkan bagi negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu."

"Walau bagaimanapun, laporan berhubung anggaran kerosakan ini kita akan terima sepenuhnya kelak,insya-Allah," kata Fadhlina kepada pemberita dalam Sidang Media Khas Situasi Terkini Institusi KPM yang terkesan banjir, di sini.

Mengulas lanjut, sekolah-sekolah terlibat akan menerima bantuan RM2,000 daripada rakan sinerginya, Yayasan Guru Tun Hussein Onn.

Sementara itu, KPM turut memberi kebenaran kepada pelajar terjejas akibat banjir hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa.

Fadhlina menjelaskan bahawa pihak sekolah perlu memaklumkan kepada pelajar yang kediamannya dilanda banjir, boleh hadir menggunakan pakaian biasa sekiranya kesemua seragam sekolah rosak akibat bencana tersebut.

"Bagi anak-anak yang terjejas dengan banjir atau ada pakaian mereka hanyut ataupun kita panggil 'total loss', menyebabkan mereka tiada pakaian ke sekolah.

"Jadi, kita setuju supaya mereka boleh datang ke sekolah menggunakan pakaian biasa asalkan berpakaian ke sekolah," tambah Fadhlina.

Beliau juga turut memaklumkan mengenai pengoperasian sekolah ketika peningkatan kes COVID-19, pihaknya telah mengeluarkan surat peringatan kepada semua institusi pendidikan bawah KPM untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain itu, semua institusi pendidikan KPM perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan COVID-19 dan jangkitan pernafasan yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam pada itu, bagi murid KPM yang dilaporkan lemas di Kelantan, tuntutan takaful sebanyak RM5,500 akan diserahkan kepada keluarga mangsa.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM