fb fb fb fb fb

Seminar SocialGov 2024 tingkat pengetahuan, kemahiran kendali akuan rasmi media sosial kerajaan

Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus

PUTRAJAYA, 26 Jun- Pengurusan risiko, pastikan ketepatan maklumat, serta penyeder-hanaan kandungan antara cabaran dihadapi dalam pengendalian akaun media sosial kerajaan.

Justeru, Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berharap; dengan penganjuran Seminar SocialGov 2024, dapat meningkatkan kemahiran kakitangan kementerian dan agensi terlibat.

"...adalah menjadi hasrat MCMC supaya pasukan media sosial yang hadir pada hari ini supaya lebih arif tentang pengurusan akaun rasmi kerajaan yang cekap, berkesan, dan selamat. Ia termasuk, pembangunan polisi, garis panduan, dan sop yang kukuh, serta pemahaman mengenai keselamatan siber dan pengurusan krisis.

"Selain itu, kami berharap seminar ini dapat meningkatkan kesedaran terhadap undang-undang dan peraturan yang terpakai antaranya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika berucap merasmikan seminar SocialGov 2024 di sini.

Dalam pada itu, hasil pencarian MCMC 22 daripada 27 kementerian didapati mempunyai akaun rasmi atau "blue tick account" di Facebook manakala 14 kementerian mempunyai akaun rasmi Instagram.

Namun tiada akaun rasmi direkodkan menerusi platform Tik Tok.

Pada masa sama pasukan pengendali akaun media sosial rasmi kerajaan diseru mengetahui Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia 2022.

Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia Mediha Mahmood berkata, kod tersebut menggariskan amalan terbaik dan piawaian etika untuk penciptaan dan penyusunan kandungan.

"Tanggungjawab mereka adalah sebagai pengendali media sosial untuk jabatan-jabatan kerana impak kandungan yang mengguris atau menyalahi undang-undang turut menjejaskan jabatan.

"...malah memberi kesan terhadap pengendali akun tersebut. Jadi saya rasa ini amat penting," kata Mediha.

Kod tersebut bertujuan untuk menjana landskap kandungan yang lebih teguh di Malaysia selain memberikan penyampaian berkesan terhadap pengguna media sosial.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI