fb fb fb fb fb

Seminar Generasi Madani, platform pendedahan dasar kepada remaja

Foto RTM

SEBERANG JAYA, 6 Oktober- Seminar Generasi Madani yang dianjurkan Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP), beri pendedahan kepada golongan remaja khususnya yang berusi 15 hingga 18 tahun, berkaitan gagasan dasar MADANI.

Ia turut mendedahkan golongan tersebut berkaitan keperluan mereka sebagai aset masa depan negara khususnya dalam aspek pembangunan.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata dalam mencapai kemajuan negeri, penglibatan aktif golongan itu sangat diperlukan khususnya peka terhadap isu-isu semasa, berinovasi dan mempunyai semangat yang tinggi untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat.

"Daripada segi objektifnya untuk memberi pemahaman kepada para pelajar berkenaan konsep Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mana menjadi dasar negara sekarang."

"Program ini tidak terhenti hari ini sahaja malah kita akan lanjutkan di setiap daerah di negeri Pulau Pinang," kat Dr. Mohamad Abdul Hamid kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui pada Majlis Seminar Kenegaraan Generasi Madani bertempat di Dewan Wisma Al-Ansar Masjid Al-Muhajirin, di sini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YIPP, Dr Mohamad Sofee Razak.

Sementara itu, peserta terlibat turut menzahirkan rasa kesedaran akan kepentingan mereka dalam mencapai kemajuan negara.

"Kami dapat satu kesedaran baharu yang mana generasi muda ini sedar atau tak kita amat penting untuk negara. Dengan kebangkitan kita sekarang ini, kita mampu untuk mengubah negara kita jadi lebih baik insya-Allah."

"Harapannya agar program ini terus dilaksana sereta diperbaharui untuk memberi semangat kepada kami, generasi muda ini lebih sedar akan kepentingan kami dalam negara," kata Ahmad Nazirul Mubin.

"Seronok. Banyak ilmu yang saya dapat. Saya suka program ini sebab saya dapat banyak maklumat-maklumat termasuk dasar-dasar kerajaan seperti Madani yang dilaksana," kata Nurdini Nabila Rosli.

Program berlangsung bermula seawal pukul 8.00 pagi hingga pukul 1.00 petang itu disertai lebih 500 peserta.

Mereka terdiri daripada pelajar sekolah menengah serta pelajar matrikulasi dan asasi.

Motivasi Aspirasi Kepimpinan Remaja Madani dan Ceramah Kenegaraan, antara pengisian seminar tersebut.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM