IPOH, 20 Oktober- Seminar Adabul Ikhtilaf adalah platform terbaik bagi memberi pencerahan kepada masyarakat tentang adab-adab yang perlu dijaga apabila berbeza pandangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, perbezaan itu perlu diurus dengan baik bagi mengelak perpecahan dalam kalangan umat.
Perkara itu meliputi setiap hantaran yang dibuat di platform media sosial.
"Apabila kita berbeza pandangan, contohnya bahasa-bahasa yang kita gunakan tidak boleh gunakan bahasa-bahasa yang menjatuhkan maruah dan memfitnah orang lain. Merasakan kita yang paling bijak dan sebagainya, itu tidak dibenarkan.
"Apabila masyarakat memahami tentang adab dan kepenggunaan media sosial, pastinya platform ini boleh digunakan ke arah kebaikan," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada program Majlis Perasmian Seminar Adabul Ikhtilaf Peringkat Negeri Perak anjuran Pertubuhan Duat Al-Falah di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini.
Seminar tersebut mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) bersama-sama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) serta Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Perak.
Mengulas lanjut berkenaan perkara itu, Mohd Na'im menyifatkan masyarakat yang berpecah akan menyukarkan kejayaan dan pembangunan negara dari sudut ekonomi serta sosial.