SEREMBAN, 19 Januari - Sebanyak 10 projek naik taraf stesen keretapi termasuk projek pembinaan sebuah stesen baharu iaitu Stesen Seremban Sentral telah diluluskan kabinet bawah projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) melibatkan kos keseluruhan kira-kira RM280 juta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata sembilan stesen berkenaan ialah KTMB Salak Selatan, Bangi, Pantai Dalam, Seri Setia, Batu Tiga, Padang Jawa, Klang, Jalan Kastam dan Pelabuhan Klang, Jalan Kastam dan Pelabuhan Klang.
"Ini merupakan komitmen kerajaan untuk memberikan kemudahan dan infrastruktur yang baik dalam sistem keretapi. Kita jadi ini merupakan hala tuju baru kerajaan di mana kita mahu menjadikan pengangkutan awam kita sebagai satu alat yang penting.
"Jadi stesen infrasruktur penting, landasan penting, perkhidmatan juga penting. Saya tahu bahawa masih ramai yang mengeluh perkhidmatan dengan perkhidmatan KTM kita masih lambat kerana kekerapan tidak begitu tinggi. Ini disebabkan projek menaik taraf landasan kita masih berjalan namun begitu kita mahu semua projek berjalan serentak," kata Loke kepada media dalam Majlis Pelancaran Stesen Baharu Seremban Sentral di Depoh DMIA Seremban.
Tambah Ahli Parlimen Seremban itu, semua projek tersebut dimulakan secara serta-merta dengan Stesen Seremban Sentral dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.
Sementara itu, projek pembinaan Stesen Seremban Sentral merupakan langkah awal yang simbolik bagi memastikan Seremban Sentral menjadi hab pengangkutan awam bersepadu di Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Loke berkata pembinaan Stesen Seremban Sentral bernilai RM170 juta itu menitikberatkan warisan sejarah stesen asal selain mengintegrasikan aspek kemodenan dengan reka bentuk unik menggunakan konsep Minangkabau.
"Ia bukan stesen biasa, rekaan menggunakan kaca, reka bentuk moden dan mengambil kira pelepasan karbon sifar bersih, boleh dikatakan stesen hijau, pada waktu siang dapat menjimatkan elektrik kerana menggunakan cahaya matahari dan tenaga itu boleh dikitar semula," katanya.
Loke berkata pada masa sama, ia masih mengekalkan fakad (bahagian depan) stesen lama bagi menjaga dan memulihara sejarahnya dengan kerja naik taraf dipantau Jabatan Warisan Negara.
Menurut beliau, apabila siap nanti, stesen yang dikelilingi pelbagai kemudahan komersial dan infrastuktur termasuk Masjid Negeri dan pusat beli-belah itu akan melengkapkan pembangunan Seremban Sentral yang akan menjadi nadi kepada pembangunan bandar Seremban.
Katanya, Seremban Sentral seluas kira-kira sembilan hektar berkonsepkan Pembangunan Berorientasikan Transit menghimpunkan komponen termasuk rumah mampu milik, pejabat dan hotel seperti KL Sentral, tetapi dalam skala rendah selain dijangka menjana nilai pembangunan kasar RM1.4 bilion.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata projek KVDT1 kini hampir mencapai 97 peratus dan dijangka disiapkan sepenuhnya akhir April ini.