Sembilan kes Tibi aktif dikesan di Kelantan sejak hujung tahun lalu

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Mohd Azman Yacob

TANAH MERAH, 7 Februari- Sebanyak sembilan kes Tuberkulosis (Tibi) aktif dikesan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) sejak hujung tahun lalu, melibatkan tiga kluster di negeri ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tujuh kluster Tibi aktif dukan? Sembilan kes dikesan sejak hujung tahun lalu, melibatkan tiga kluster di Kelantan.
  • Dua kluster di Kota Bharu (Kampung Padang Salim tiga kes, Kampung Guchil Bayam dua kes) dan satu di Bachok (empat kes).
  • Semua pesakit menerima rawatan dan keluarga terlibat menjalani pemeriksaan serta pemantauan berterusan.
  • JKNK menekankan pencegahan awal, saringan untuk kontak, dan penjagaan premis seperti sekolah untuk elak penyebaran.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata dua kluster dikesan di Kota Bharu dan satu lagi di Bachok.

Di Kota Bharu, tiga kes dikesan di Kampung Padang Salim manakala dua kes lagi di Kampung Guchil Bayam manakala kluster di Bachok pula melibatkan empat kes di Kampung Anak Rhu, Melawi.

Beliau berkata, semua pesakit telah menerima rawatan dan masih dalam pemantauan, manakala pemeriksaan turut dijalankan ke atas semua ahli keluarga yang terlibat.

“Setakat ini memang berlaku beberapa kawasan yang mempunyai wabak Tibi aktif. Di Kota Bharu ada dua kawasan, iaitu Kampung Padang Salim dengan tiga kes dan Kampung Guchil Bayam dengan dua kes. Satu kawasan di Bachok, Kampung Anak Rhu, Melawi, pula ada empat kes.”

“Kita telah mengambil langkah-langkah pencegahan, membuat pemeriksaan ke atas semua ahli keluarga dan pesakit turut menerima rawatan. Kita harap pesakit mematuhi rawatan yang diberikan,” kata Datuk Dr. Mohd Azman kepada pemberita, hari ini.

Beliau menambah, sepanjang tahun lalu, sebanyak 16 kes Tibi direkodkan melibatkan 45 pesakit.

Datuk Dr. Mohd Azman menekankan kepentingan pencegahan awal bagi memastikan wabak ini tidak merebak dan menjadi lebih serius, terutamanya kepada individu yang mempunyai penyakit kronik.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mengalami batuk berpanjangan, hilang selera makan atau susut berat badan untuk segera mendapatkan rawatan.

Ahli keluarga yang terdedah kepada pesakit Tibi juga digalakkan menjalani saringan bagi memastikan mereka bebas daripada jangkitan.

JKNK akan terus mengambil langkah berjaga-jaga serta menguatkuasakan pencegahan, terutamanya di premis seperti sekolah, bagi mengelakkan penyebaran wabak Tibi.