PUTRAJAYA, 21 Julai- Orang ramai digalakkan menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang berlangsung di Cyberjaya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pelaksanaannya bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
"Semangat patriotik ini perlu ada sebagai seorang warganegara Malaysia.
" Ia (semangat patriotik) diharap mengukuhkan lagi kekuatan perpaduan dan akhirnya Malaysia akan menjadi sebuah tempat yang dapat kita hidup secara harmonis tanpa mengira latar belakang sebagai rakyat Malaysia..kita bersama dalam mendukung kekuatan negara kita," katanya selepas sesi pelepasan peserta bagi kategori lima kilometer Marathon Score 2024 di sini.
Dalam pada itu, Fadillah menyarankan agar program berbentuk sukan dan riadah terus diperluas.
Jelasnya, program sedemikian mampu menggalakkan budaya hidup sihat, sekali gus memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Ini merupakan satu perkara yang sihat sekali tanpa kita sedari.. ia juga boleh memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat..sebab itu saya kira program begini patut banyak diadakan," katanya.