ALOR SETAR, 11 Oktober - Kehadiran ribuan rakyat pelbagai peringkat umur mencerminkan semangat rakyat Kedah yang tinggi terhadap pembudayaan sukan dan gaya hidup sihat sempena Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kedah hari ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu berkata, ia disifatkan sebagai medium penyatuan pelbagai kaum dan latar belakang.
"Saya sangat teruja dengan sambutan luar biasa rakyat Kedah yang turun beramai-ramai. Golongan tua dan muda sama-sama hadir menunjukkan semangat kuat terhadap pembudayaan sukan.
"Terima kasih kepada rakyat Kedah, Jawatankuasa Penganjur Hari Sukan Negara dan Kerajaan Negeri Kedah atas sokongan yang begitu padu. Inilah semangat yang kita ingin lihat di seluruh Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas langkah meningkatkan peruntukan program Rakyat Muda kepada RM40 juta, yang bakal dimanfaatkan oleh golongan belia di seluruh negara.
"Kami berharap dana ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh belia di seluruh negara, khususnya di Kedah. Tahun depan, had umur belia akan diselaraskan kepada 15 hingga 30 tahun, jadi gunakan peluang ini sebaiknya.
"Selain itu, terdapat juga geran padanan sukan dan dana sukan komuniti masing-masing berjumlah RM50 juta dan RM20 juta yang boleh dimohon. Kami akan melaksanakan sesi libat urus lanjut pada bulan Disember nanti," tambahnya.
Beliau turut memuji penglibatan aktif pihak swasta dalam menjayakan program berkenaan, termasuk pengusaha pusat beli-belah yang tampil menaja dan menyediakan ruang aktiviti sukan untuk orang ramai.
Dengan semangat dan komitmen padu pelbagai pihak, pembangunan sukan negara dijangka akan terus meningkat.