Semakan SARA untuk Semua dibuka, RM100 bakal dikreditkan 9 Februari

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Februari– 22 juta pemegang kad pengenalan (MyKad) warganegara Malaysia kini boleh membuat semakan kelayakan bagi inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi portal rasmi SARA.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semakan kelayakan SARA boleh dibuat menerusi portal rasmi SARA untuk warganegara berusia 18 tahun ke atas.
  • Bantuan sekali beri RM100 akan dikreditkan ke MyKad pada 9 Februari 2026.
  • Program SARA untuk Semua dilanjutkan tahun kedua, membantu persiapan Ramadhan dan Tahun Baharu Cina.
  • Baki RM150 juta tidak dibelanjakan akan disalurkan semula untuk sokongan golongan rentan dan pelajar memerlukan.

Kementerian Kewangan (MOF) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bantuan secara sekali beri berjumlah RM100 itu diperuntukkan kepada semua warganegara berumur 18 tahun dan ke atas, tanpa mengira pendapatan.

”Seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan lepas, Kerajaan MADANI akan menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 secara ‘one-off’ bagi membantu 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas.”

”Bantuan RM100 akan dikreditkan melalui MyKad pada 9 Februari 2026,” menurut hantaran itu.

SARA untuk Semua yang mula diperkenalkan pada 31 Ogos 2025, turut dinikmati oleh penerima SARA bulanan.

Inisiatif yang dilanjutkan bagi tahun kedua itu bakal memanfaatkan rakyat menjelang persiapan Ramadhan dan sambutan Tahun Baharu Cina (TBC).

Awal Januari lalu, MOF menyatakan inisiatif SARA untuk Semua pada tahun lalu telah dimanfaatkan oleh 21.2 juta rakyat.

Jumlah itu bersamaan 96 peratus penerima dengan nilai perbelanjaan hampir RM2.1 bilion.

Baki SARA untuk Semua yang tidak dibelanjakan sebanyak RM150 juta akan disalurkan semula bagi dimanfaatkan oleh golongan sasar.

”Antara inisiatif yang dikenal pasti termasuk sokongan kepada penghuni pusat perlindungan seperti mangsa keganasan rumah tangga, bantuan untuk pelajar OKU dan keperluan khas.

”Selain itu, ia juga akan dimanfaatkan untuk pembelian peranti perubatan bagi golongan rentan serta inisiatif Dapur SISWA untuk membantu pelajar kurang berkemampuan mendapat akses makanan,” menurut kenyataan itu.

 

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan