MELAKA, 13 Februari- Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman hari ini memaklumkan, pihaknya sedia memberi kerjasama penuh kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) untuk membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan oleh staf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang mencecah ratusan ribu ringgit.
Namun begitu, beliau berkata, kerajaan negeri telah mengambil langkah awal dengan mengadakan kerjasama bersama pihak polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri berkenaan isu berkenaan.
Hasilnya, dua tangkapan telah dilakukan membabitkan seorang kakitangan MAIM bersama seorang orang awam yang mana kes tersebut sedang menunggu pendakwaan.
Katanya, kerajaan negeri tidak akan berkrompomi dengan mana-mana penyelewangan dan salah guna dana yang dilakukan.
"Saya telah mengambil tindakan bersama dengan polis dan telah membuat tangkapan serta menunggu pendakwaan.
"Mana-mana kes yg terlibat, saya akan beri kerjasama baik PDRM mahuoun SPRM, dengan tindakan yang keras ini kita boleh memberikan satu amaran kepada staf-staf lain sekiranya mereka ada melakukan kesalahan.
"Sebenarnya hal yang sama berlaku di agensi2-agensi lain bukan agensi agama sahaja, cuma agensi agama ini adalah besar," katanya.
Beliau berkata demikian selepas bersiaran di MelakaFM, Jalan Taming Sari.
Tegasnya, penyelewengan tersebut tidak membabitkan peruntukkan MAIM namun dana tabung sumbangan orang ramai yang tidak dikendali dengan betul.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira (PAC) Melaka memberitahu media, pihaknya akan memanggil MAIM untuk memberi penjelasan berhubung isu terbabit.
Sementara itu, Datuk Rahmad memaklumkan, enam resolusi akan diangkat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) kepada kerajaan negeri pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi penambahbaikan institusi Islam di negeri itu.
Beliau berkata, enam resolusi itu hasil 18 dapatan yang perlu dilaksana oleh agensi bawah naugan MAIM.
Jelasnya, antara resolusi terbabit termasuklah tahanan reman bagi Mahkamah Syariah negeri itu dilaksana selama 14 hari berbanding 24 jam ketika ini.
Dalam pada itu, Datuk Rahmad berkata, seramai 18 peserta akan mempedengarkan bacaan masing-masing pada peringkat akhir Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) peringkat negeri Melaka.
Manakala bagi Hafazan Al-Quran pula, 51 peserta akan menyertai pertandingan akhir meliputi kategori 1 hingga 10 juzuk, Ketegori 1 hingga 20 juzuk dan 1 hingga 30 juzuk.
MTHQ peringkat Melaka akan berlangsung pada 22 hingga 25 Februari ini di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah.