
SELAYANG, 9 Jun – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memberi jaminan projek pembangunan semula tapak perniagaan Selayang Segar di Taman Selayang Baru berjalan mengikut jadual, sekali gus menepis dakwaan kelewatan yang tular di media sosial.
- Projek RM13 juta dilaksanakan melalui kaedah BOT 21 tahun; kerja pengosongan tapak bermula 1 Januari.
- Pembangunan dijangka siap dalam 12 hingga 18 bulan dan disasarkan siap sepenuhnya pada Mei 2027.
- Akan disediakan sekurang-kurangnya 64 premis, surau, tandas, lebih 100 petak parkir; keutamaan disewa kepada peniaga asal.
Projek bernilai RM13 juta itu dilaksanakan menerusi kaedah ‘Build, Operate and Transfer’ (BOT) selama 21 tahun, dengan kerja pengosongan tapak telah bermula sejak 1 Januari lalu.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, pembangunan semula itu perlu kerana keadaan tapak sedia ada yang uzur serta berisiko dari segi keselamatan.
“Projek dijangka mengambil masa antara 12 hingga 18 bulan untuk disiapkan dan disasarkan siap sepenuhnya pada Mei 2027.
“Ketika ini, pihak pemaju telah mengemukakan pindaan pelan asal yang akan dibentangkan untuk kelulusan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC). Selepas diluluskan, kerja pembinaan akan dilaksanakan segera.
“Saya optimis projek penswastaan di tapak Selayang Segar ini bukan sahaja menyuntik nafas baharu kepada kawasan setempat, malah merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan.
“Ini membuktikan komitmen jitu Majlis Perbandaran Selayang dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan infrastruktur yang lebih moden dan selamat,” katanya.
Pembangunan baharu itu bakal menyediakan sekurang-kurangnya 64 unit premis perniagaan, lengkap dengan kemudahan surau, tandas dan lebih 100 petak parkir.
Keutamaan penyewaan akan diberikan kepada peniaga asal yang layak, manakala MPS akan terus memantau pelaksanaan projek bagi memastikan ia siap mengikut jadual serta mengelakkan penyalahgunaan premis.