fb fb fb fb fb

Selaras majlis TVET dan Pembangunan Usahawan, rancak sektor teknousahawan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 29 April - Idea serta inisiatif Majlis TVET Negara dan Majlis Pembangunan Usahawan Kebangsaan akan diselaras bagi memastikan sektor teknousahawan berkembang pesat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah berkata, sebagai pengerusi kedua-dua majlis akan memastikan pengetahuan serta kemahiran keusahawanan digabung bagi memperbanyak inovasi yang mampu memimpin kemajuan ekonomi negara.

Katanya jika Agenda TeknoUsahawan Negara berjaya, banyak peluang pekerjaan dihasilkan dan ia akan membina ekosistem yang bakal membuka lebih banyak nilai tambah buat rakyat Malaysia.

“Rangkaian usahawan TVET mesti saling bekerjasama untuk cipta sinergi dengan pihak industri dan institusi.

"Jaringan kerjasama yang rapat ini dapat menggalakkan usahawan berkongsi sumber, ilmu, kepakaran dan pengalaman seterusnya membuka pelbagai peluang untuk mencipta perniagaan berdaya saing,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Teknousahawan TVET@KKDW 2023, di sini.

Anugerah itu bagi mengiktiraf kejayaan institusi, tenaga pengajar, pelajar dan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang keusahawanan berasaskan teknologi.

Ahmad Zahid juga berkata budaya teknousahawan perlu diperkasa kerana ekonomi berasaskan teknologi digital kini menjadi antara sektor strategik bernilai tinggi buat negara dan mampu merancakkan pelaburan serta menawarkan pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat.

Beliau turut menyeru semua institusi TVET dalam negara supaya menyediakan ruang kepada tenaga pengajar bidang teknousahawan untuk mengikuti kursus serta program peningkatan kemahiran dan pemahiran semula yang bersesuaian bagi peningkatan kemahiran kendiri mereka.

“Saya juga mahu mencabar para pengajar untuk mereka sendiri menjadi teknousahawan. Mereka harus menjadi contoh kepada bakal teknousahawan,” katanya.

TETITIA YUSOFF