SHAH ALAM, 3 Jun – Kerajaan Negeri Selangor kini dalam proses merangka pelaksanaan larangan penjualan rokok elektronik atau vape secara berperingkat menerusi pendekatan berhemah, bagi melindungi kesihatan awam khususnya golongan muda.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata perbincangan sedang giat dijalankan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan sebarang keputusan tidak membebankan mana-mana pihak.
“Satu kawalan akan dilaksanakan. Pihak Exco sedang meneliti dan menyiapkan kertas kerja yang dibincangkan minggu lalu. YB Jamaliah turut memberikan beberapa pandangan yang kini sedang diperhalusi agar larangan ini disertakan dengan garis panduan yang jelas.
“Kita tidak mahu membuat pengumuman terburu-buru tanpa garis panduan seperti yang berlaku di beberapa negeri lain. Ada yang mengharamkan penjualan tetapi pelaksanaannya tidak jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan E-Bike kepada Polis Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, di sini hari ini.
Amirudin turut memberi jaminan, keputusan mengenai larangan vape akan dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk geografi, kesihatan, ekonomi serta kebolehlaksanaan penguatkuasaan di peringkat negeri.