fb fb fb fb fb

Selangor rangka formula baharu basmi kemiskinan tegar

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri (lima dari kanan) menghadiri Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Selangor 2025/ Foto RTM

KLANG, 18 Oktober - Formula baharu akan dirangka bagi memastikan usaha membasmi kemiskinan tegar di Selangor dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, fokus kerajaan negeri kini tertumpu kepada usaha menoktahkan kemiskinan menerusi kaedah yang akan dibentangkan dalam Belanjawan Selangor 2026.

"Tahun ini dalam mesyuarat terakhir TPSG ataupun Majlis Tindakan Pembangunan Negeri yang dikelolakan ICU JPM, kita dapati hampir 2,000. Ada yang miskin dan terlantar ataupun yang berdepan dengan masalah begitu berat, itu juga mereka belum jatuh kepada miskin tegar, " ujajnya.

"Kita akan cuba bantu selesaikan masalah mereka ini supaya mereka tidak masuk jatuh di bawah miskin tegar dan juga keluar daripada kemiskinan," tambahnya lagi.

Menurut Datuk Seri Amirudin, bantuan akan disalurkan secara berjadual setiap enam bulan menerusi pelbagai skim sedia ada, termasuk Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan institusi zakat.

Bagi penerima beragama Islam, bantuan turut disalurkan melalui dana zakat dan wakaf, manakala untuk penerima bukan Islam, kerajaan negeri bekerjasama dengan agensi kebajikan dan JKM bagi memastikan keperluan asas mereka dipenuhi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Selangor 2025 di Klang, malam tadi.

EMMI NORALIZA ADNAN